Memperkukuhkan sistem pendidikan negara kekal relevan, berdaya tahan, responsif




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 27 Jun. - Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal telah menghadiri Meja Bulat Menteri-menteri mengenai Akses dan Pembangunan Lestari dalam Pengajian Tinggi yang berlangsung secara maya pada 26 Jun 2026.


Bertemakan 'Advancing Equitable Access to Quality Higher Education through Digital Transformation, Sustainability, and Regional Harmonisation', Meja Bulat Menteri-menteri tersebut telah dianjurkan oleh pihak Suruhanjaya Pengajian Tinggi, Republik Filipina. Antara lain, sesi berkenaan bertujuan untuk menjana kesepakatan di peringkat menteri mengenai hala tuju dasar bersama dan tindakan keutamaan bagi kerjasama pendidikan tinggi ASEAN.


Semasa sesi Meja Bulat tersebut, Menteri-menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi dari Negara-negara Anggota ASEAN telah menyampaikan kenyataan negara masing-masing mengenai inisiatif, cabaran, jurang pelaksanaan dan cadangan tindakan berkaitan akses kepada pengajian tinggi dan pembangunan lestari.


Dalam kenyataan dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan menegaskan bahawa akses yang saksama kepada pengajian tinggi yang berkualiti merupakan tanggungjawab bersama di peringkat serantau dan seterusnya mengongsikan mengenai pelbagai bentuk sokongan yang disediakan oleh NBD bagi memperluas akses kepada pengajian tinggi.


Di samping itu, penekanan turut diberikan kepada kepentingan mengintegrasikan aspek kelestarian dalam pengajaran, penyelidikan dan operasi institusi bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).


Sebelum Meja Bulat tersebut diadakan, satu sesi dialog dasar bagi pegawai-pegawai kanan bertajuk Dialog Dasar Peringkat Tinggi ASEAN mengenai Akses kepada Pendidikan Tinggi Berkualiti : Transformasi Digital dan Kemampanan telah berlangsung secara maya pada Khamis, 25 Jun 2026.


Mewakili NBD ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad.


Sesi ini mendengarkan penyampaian ucaptama, perbincangan panel serta sesi dialog yang memfokuskan kepada isu akses, transformasi digital, kelestarian dan penyelarasan serantau dalam sektor pengajian tinggi.


Penyertaan NBD dalam Meja Bulat dan Dialog Dasar ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara agar kekal relevan, berdaya tahan dan responsif terhadap perkembangan global selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.


Turut menyertai rombongan Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan dan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) ke kedua-dua acara berkenaan ialah beberapa pegawai daripada Kementerian Pendidikan.


Close